20.11.12

Aku ingat lagi...

Bismillahirrahmanirrahim.....



Assalamualaikum....

Masih kuingat lagi, bagaimana sedihnya hati ini saat aku terpaksa tinggalkan kau tatkala aku jujur untuk menyintai dan menyayangimu. Saat kita mula mengenali hati budi masing-masing, saat itulah yang paling manis tapi dihancurkan dengan perpisahan. Suatu saat dulu, insan yang disayangi mula untuk berkenalan dengan lebih rapat, saling berhubung walaupun masa mencemburui kita, jarak yang jauh turut menjadi penghalang. Tatkala suatu masa dahulu, saat aku kesunyian dan sedih, kau datang dan muncul dalam hidupku ingin membawa keceriaan dalam hidupku.

Masihku ingat lagi pertemuan kita yang pertama, zaman surat-menyurat, zaman belum popularnya telefon bimbit, zaman itulah yang sangat sweet untuk kita. Setiap surat yang kau utuskan kepadaku, aku simpan dengan sebaik-baiknya untuk menjadi kenangan sehinggalah sekarang. Tiada satu pun sepucuk surat yang tertinggal. Saat itu jugak pada mulanya kita cuma berhubung sebagai kawan biasa yang saling memahami. Tiap minggu hinggalah sampai ke tiap hari kita berutus surat. Tapi pelajaran tetap diutamakan. Kau sering memberi dorongan kepada aku tatkala aku sedih dan ditimpa musibah. Kau jugak yang sering membuat aku ketawa.

Masihku ingat lagi, di zaman bangku sekolah, aku tingkatan empat (4), kau tingkatan lima (5), zaman "cinta monyet" untuk remaja di usia kita, waktu tu jugak hubungan kita mula makin erat. Bermula dengan kawan biasa ke kawan karib. Persahabatan kita pada mulanya tidak dirancang, dipertemukan oleh seorang insan. 

Masihku ingat lagi, sebelum perkenalan kita bertambah erat, aku rasa tertipu. Suatu hari, dengan tidak sengajanya aku ternampak nama seorang gadis di dalam buku latihan yang kau letak di atas meja belajar dalam kelas. Bukan satu buku, tapi dua tiga buku ada nama dia. Hatiku hancur pada saat itu. Mungkin kerna perkenalan kita membuatkan aku mula jatuh cinta. Begitu mudahnya untuk aku jatuh cinta. Mungkin terlalu cepat untuk aku menilai hati dan perasaan sendiri.

Masihku ingat lagi saat itu hatiku menjadi tawar untuk meneruskan persahabatan kita. Dan selepas kejadian itu aku bertanya kepada kau dan inginkan jawapan yang jujur, siapakah gadis itu? Lantas kau menjawab dengan jujur " gadis itu adalah insan yang aku cinta"...Ya Allah, betapa sedihnya hati aku ketika itu. Aku mula menjauhkan diri daripada kau kerna tidak ingin merosakkan hubungan kau dan dia. Tapi, kau tetap ingin bersahabat baik denganku. Aku terharu. Kau insan yang jujur. Kau jugak insan yang baik hati. 

Masihku ingat lagi saat alam persekolahan kau bakal tamat tidak lama lagi. SPM pun semakin hampir. Aku mendoakan kau agar berjaya di dunia dan juga di akhirat. Kemudian, terlintas difikiranku, adakah selepas ini kita akan bertemu lagi? Adakah ini adalah pertemuan kita buat kali terakhirnya? Saat itu jugak kutatap suratmu yang terakhir kalinya.."awak jaga diri elok-elok, belajar bersungguh-sungguh"....dan..."awak, jangan lupakan saya okey!"...

Masihku ingat lagi, persahabatan kita berakhir di saat kau pergi meninggalkan sekolah buat selama-lamanya. Tiada surat lagi yang akan aku baca. Tiada surat lagi yang akan aku balas. Tiada insan yang akan menceriakan aku lagi. Aku teruskan kehidupanku sebagai seorang pelajar. Kau terus menghilang tiada khabar berita. Saat itu jugak aku mula berusaha untuk melupakan kau walaupun hati ini terasa berat untuk melupakan insan yang pernah memberikan harapan cinta untuk aku. Aku mula untuk menerima kenyataan bahawa mungkin kau bukan jodohku.

Masihku ingat lagi, dua tahun telah berlalu, saat zaman moden mula menular dengan telefon bimbit, saat itu jugak kau hadir kembali dalam hidupku. Aku rasa berada dalam mimpi tatkala aku mula tawar hati untuk mencintai insan bergelar lelaki kau hadir dalam hidupku. Pada mulanya, aku tidak ingin menaruh cinta lagi kerna tidak ingin kecewa untuk kali keduanya. Saat kau hadir kembali, kau datang dalam hidupku dengan harapan untuk mendapatkan cintaku yang telah hampir hilang untukmu. Dua tahun lamanya aku cuba untuk melupakan mu. Aku berusaha dengan melupakan segala kisah kita di sekolah. Tapi tetap tak dapat nak dilupakan. Benar cakap orang, cinta pertama, insan pertama yang kita cinta memang sukar untuk dilupakan.

Masihku ingat lagi, kau hadir tanpa berputus asa untuk mendapatkan cintaku kembali. Kau berusaha untuk mendapatkan contact number aku dengan pelbagai cara dan akhirnya kau berjaya. Saat itu, tanggal 27 April 2008, genapnya umurku 18 tahun, kau hadir dengan ucapan ulang tahun. Aku terkejut!. Kenapa kau hadir kembali dalam hidupku? Aku tidak ingin kecewa lagi. Cukuplah hanya sekali. Bukan salah kau, mungkin kerna aku cepat jatuh cinta. Selama dua tahun lamanya aku cuba untuk tidak jatuh cinta lagi kerna aku tahu betapa sakitnya hati bila insan yang kita cintai mencintai orang lain. Betapa hancurnya hati ketika itu.

Masihku ingat lagi, kau tetap tidak berputus asa untuk menagih cinta dariku. Akhirnya aku tewas. Kau berjaya memenangi hatiku buat kali kedua setelah dua tahun lamanya kita terpisah. Tanggal 22 Jun 2008, kita menjadi sepasang kekasih. Betapa bahagianya aku ada kau hadir dalam hidupku. Kau insan yang sangat setia, kau insan yang jujur dalam hubungan. Setiap tahun kita meraikan ulang tahun percintaan kita, bukan dengan pertemuan, bukan dengan harta benda, tapi dengan hanya sekadar kata-kata kerna kita jarang dapat berjumpa.

Masihku ingat lagi, kadang-kadang kita hanya dapat berjumpa sekali setahun. Namun, hubungan kita tetap utuh dengan kesetiaan, kesefahaman dan kepercayaan masing-masing. Bukan kerna jarak yang jauh, tapi aku tidak ingin kita sering kali berjumpa kerna hubungan kita belum halal untuk berbuat sedemikian. Kau tidak merungut meskipun kadang-kadang dalam masa setahun kita tidak dapat berjumpa.

Masihku ingat lagi pertama kali dan terakhirnya kita keluar bersama-sama, saat itu buat pertama kalinya kita berjumpa dan jalan bersama-sama di pusat membeli-belah, makan bersama-sama dan pergi menonton wayang bersama-sama. Dan saat itu jugak kali terakhir buat kita berdua berjumpa. Pernah pun kita berjumpa hanya sekadar dua tiga minit sahaja kerna kau tahu betapa susahnya untuk berjumpa denganku. Betapa susahnya untuk mengajak aku "dating". Kau tahu. Tapi kau sedikit pun tidak merungut. Kau tetap sabar menunggu aku. Aku sedar, aku sememangnya bukan seperti gadis-gadis lain yang boleh keluar jalan sesukahati, yang boleh outing sesukahati, yang boleh jalan dengan pakwe sesukahati. Aku sedar aku bukan gadis yang sedemikian. Sehinggakan aku pernah ditanya oleh sahabat-sahabat disekelilingku, "kau ade pakwe kan, tak pernah pun tengok kau keluar dengan die"...aku hanya mampu tersenyum...Sering kali kau mengajakku untuk berjumpa, tapi aku menolak. Kenapa? Biarlah aku pendam sendiri jawapannya.

Masihku ingat lagi, bagaimana egonya aku sepanjang hubungan kita, tapi kau tetap mempertahankan hubungan kita. Kau bersabar dengan kerenahku. Kau bersabar dengan segala perangai burukku. Aku taknak hipokrit. Aku tunjukkan perangaiku yang sebenar sepanjang hubungan kita. Kau terima aku seadanya. Aku bersyukur.

 Tapi.......


Masihku ingat lagi, tahun demi tahun berlalu, memang tak dinafikan kau sememangnya seorang insan yang penyabar. Hampir empat tahun kita bersama, dua tahun kita berkawan di bangku sekolah, dua tahun jugak kita berpisah. Kini, semuanya telah berakhir. Bukan salah kau. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Jodoh kita hanya Allah yang tahu. Aku tahu jodoh kita hanya sampai setakat ini sahaja. Kau tidak merelakan perpisahan kita. Aku rela sebab aku tahu Allah mempunyai perancangan yang baik untuk kita berdua. Empat tahun lamanya cinta kita bersemi. Akhirnya berakhir di sini sahaja. Aku tahu Allah ingin menguji kita agar kita tidak leka dengan nikmat dunia., agar kita tidak leka untuk melabuhkan cinta kita untukNya. Kau terpaksa merelakan hubungan kita yang tiada penghujungnya. Jodoh kau bukan dengan aku. Aku percaya pasti akan ada insan yang lebih baik untuk kau suatu hari nanti. Percayalah Allah ada perancangan yang baik untuk kita.

Cinta, kadang-kadang menyakitkan, kadang-kadang menggembirakan, kadang-kadang menjadi kenangan pahit dan manis untuk kita. Cinta jugak kadang-kadang senang hadir dalam diri kita dan senang jugak membuatkan kita kecewa. Kerna cinta aku kuat. Kerna cinta jugak aku tewas. Cinta memang cukup menghancurkan hati aku tatkala dikecewakan dengan perasaan sendiri yang terlalu cepat untuk jatuh cinta. Kadang-kadang aku terfikir, adakah benar aku mencintainya? Kenapa begitu mudahnya untuk aku jatuh cinta. Namun, kupendamkan perasaan itu kerna ku tak ingin merasa kekecewaan lagi. Akan kubiarkan cinta itu hadir dengan sendirinya bukan kerna kata cinta yang aku lafazkan, tapi kerna cinta dari dalam dirinya sendiri terhadapku. Aku tak ingin mengejar cinta lagi. Biarlah ianya datang sendiri kerna aku tahu jodoh itu pasti ada.



Masing-masing ada cerita. Kisah ini biarlah menjadi kenangan buatku. Aku tak ingin kecewa lagi. Cinta selepas nikah, insyaAllah pilihan yang terbaik. Kadang-kadang menjadi satu kepuasan untuk aku meluahkan perasaan dalam blog kerna tiada lagi insan tempat mengadu. Tiada lagi teman tempat berkongsi cerita. InsyaAllah, jodoh itu pasti ada. Percayalah.



No comments: